• newsatmy

Negara tiada katil di ICU jika orang ramai tidak tinggal di rumah - Dr Noor Hisham

9 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan memberi amaran akan tiba masanya negara tidak mempunyai katil unit rawatan rapi (ICU) yang mencukupi.


Justeru itu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai agar kekal berada di rumah untuk mengelakkan dijangkiti COVID-19.


"Sila duduk di rumah, kerana jika anda dan keluarga dijangkiti COVID-19 mungkin akan sampai masa kita tidak ada katil ICU yang mencukupi.


"Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga," katanya ringkas dalam ciapan di Twitter, pada Ahad.


Negara merekodkan dua hari berturut-turut kes jangkitan COVID-19 melebihi 4,000 kes dengan semalam sebanyak 4,519 dikesan.


Jumlah kes di ICU dan memerlukan bantuan alat pernafasan adalah sebanyak 603 kes keseluruhan.


Pada Sabtu, Dr Noor Hisham dalam sidang media pertamanya selepas lebih dua bulan berkata data menunjukkan lima hospital di Lembah Klang sudah beroperasi di luar kapasiti.


Di seluruh negara, lebih daripada 70 peratus katil ICU COVID-19 di 19 hospital awam sudah dipenuhi.


"Kami menggesa semua rakyat untuk memastikan anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana kami berada dalam kedudukan kritikal.


"Hospital awam dan hospital swasta semakin kehabisan katil ICU dan katil (kes COVID-19).


-Astro Awani