top of page
  • admin

Nik Nazmi didesak mohon maaf berhubung fakta salah Tanah Rizab Melayu (TRM) negeri Kedah.


KUALA LUMPUR 4 April: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memberikan jawapan mengelirukan berhubung fakta Tanah Rizab Melayu (TRM) negeri Kedah.


Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) sehubungan itu telah menghantar usul untuk merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.


Menurut Ahmad Tarmizi, isu itu diusulkan terhadap Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang disifatkan menghina Majlis dan Ahli Dewan di bawah Perkara 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


“Atas sebab ucapan beliau dalam Dewan Rakyat pada 29 Mac 2023 mengandungi kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina Majlis,” kemuka beliau.


Semasa sesi soal jawab lisan 29 Mac itu, Nik Nazmi selaku Menteri bertanggungjawab telah menyatakan bahawa setiap negeri mencatat peningkatan TRM kecuali Kedah.


Kedah katanya, menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar, namun disangkal Ahmad Tarmizi dengan mengemukakan justifikasi daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM).


“Berdasarkan pewartaan JUPEM, TRM terkini di Kedah meningkat lebih daripada keluasan asal yang diwartakan pada tahun 1933 iaitu daripada 721,496.95 hektar kepada 721,905.614 hektar.


“Iaitu penambahan sekitar 408 hektar. TRM di Kedah berdasarkan warta bertarikh 19 Januari 2023 adalah 721,905.614 hektar. Data ini dibentangkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah.


“Sedangkan data yang dibentangkan oleh Setiawangsa menunjukkan TRM di Kedah pada tahun 2022 adalah 716,537.28 hektar.


“Perbezaan jumlah luas hektar itu menjelaskan Menteri tidak bertanggungjawab mendapatkan rujukan data yang terkini daripada negeri kerana tanggungjawab pengurusan tanah adalah di bawah bidang kuasa Negeri,” hujahnya.


Tegas Tarmizi lagi, Kedah masih mengekalkan TRM yang tinggi dalam kalangan negeri di Semenanjung Tanah Melayu dan tidak mengalami pengurangan sebagaimana didakwa.


Beliau turut menggesa Nik Nazmi meminta maaf kepada Kerajaan Negeri Kedah dan rakyat negeri itu secara keseluruhannya di atas kesilapan dalam pembentangan data tersebut.


Terdahulu, Tarmizi dalam ucapannya telah mengemukakan perkara tersebut kepada Speaker, Dato’ Johari Abdul semasa Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.


“Mungkin terkhilaf fakta iaitu ada penurunan khususnya TRM di negeri Kedah daripada tahun 2021 hingga 2022 yang disebut penurunan.


“Jadi YB Speaker saya mohon untuk YB Menteri memperbetulkan fakta ini dan memohon maaf di atas kesilapan kekhilafan ini dan sudah pastilah ia akan menjernihkan keadaan.


“Dan pastinya ia tidak memberi satu kesan khususnya hubungan baik di antara kedua pihak. Hal ehwal TRM sangat penting khususnya ia telah dipersetujui oleh Raja-raja Melayu ketika kita menuntut kemerdekaan dulu.


“Ia adalah perkara yang sangat sensitif kepada seluruh orang-orang Melayu,” ujarnya lalu diminta Johari supaya dimasukkan usul berkenaan dan beliau akan membuat semakan.

bottom of page