top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Noh Omar tamatkan perkhidmatan ahli BERSATU di TEKUN

1 NOVEMBER 2021

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar didakwa menamatkan perkhidmatan ahli BERSATU yang memegang jawatan menerusi lantikan politik dalam agensi-agensi di kementerian berkenaan walaupun kontrak masih belum tamat.


Mendedahkan perkara tersebut Naib Ketua Bersatu Bahagian Puchong, Shaik Shaszari Shaik Sulaiman berkata, tindakan itu tidak sihat untuk kerjasama antara parti dalam Kerajaan Persekutuan.


Beliau turut mempersoalkan adakah langkah itu diambil bagi digantikan dengan lain-lain pemimpin UMNO?


“Saya secara peribadi mempersoalkan rasional yang diambil ketika kementerian-kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang mencapai KPI 100 hari dan saya percaya ahli-ahli Lembaga Pengarah tersebut sedang bersama-sama dalam agensi-agensi bawah MEDAC untuk membantu pihak menteri dalam mencapai KPI 100 hari & seterusnya.

“Namun sebaliknya tindakan ini secara tidak langsung makin memecahkan keharmonian yang sedang dibina antara Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin UMNO antaranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebooknya.


Shaik Shaszari berkata, antara pemimpin Bersatu yang ditamatkan kontrak lebih awal, antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman selaku Ahli Lembaga Pengarah SKM yang sepatutnya tamat kontrak pada Disember 2022.


Turut ditamatkan perkhidmatan Ahli Lembaga Amanah TEKUN ialah Najwah Halimah (Timbalan Pengerusi Tekun Nasional), Mizmah Appehdullah (Exco Srikandi Pusat Bersatu), Datuk Wan Shaharir Wan Jalil (mantan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang) serta beberapa pemimpin lain lagi.


Difahamkan terdapat banyak lagi BOD di MEDAC akan ditamatkan termasuk Timbalan Ketua Bahagian BERSATU MASJID Tanah di Yayasan Bank Rakyat.




Comments


bottom of page