• Arissa

Nor Azam persoal pemecatan, rombakan mengejut AMK Perlis

29 Jun 2021

KANGAR - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Nor Azam Karap mempersoal tindakan AMK Malaysia menggugurkan jawatannya, termasuk rasional merombak kepimpinan AMK negeri itu secara mengejut.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, pemecatan itu dimaklumkan pada pagi Isnin dan disusuli dengan surat pengguguran jawatannya pada hari yang sama.


Menurutnya, beliau terkilan kerana penggugurannya dibuat tanpa dinyatakan alasan kukuh, sebaliknya dimaklumkan secara umum berkaitan penyusunan semula kepimpinan AMK negeri itu.


"Saya terima panggilan telefon daripada Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir memaklumkan perkara itu disusuli surat digugurkan jawatan yang ditandatangani oleh Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab dihantar melalui aplikasi WhatsApp,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.


Nor Azam mengakui terkejut dengan tindakan drastik itu kerana tiada langsung konsultasi berhubung perkara itu dilakukan.


“Beliau mempunyai hak prerogatif selaku Ketua AMK Malaysia dan saya terima keputusan itu. Namun agak pelik kenapa hanya Perlis dan Selangor dikenakan rombakan, sedangkan kami tidak pernah timbulkan masalah kepada parti,” katanya.


Menurutnya, berdasarkan surat pemecatan, struktur jawatankuasa AMK Perlis dibubarkan berkuat kuasa serta-merta untuk memperkukuh jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Turut dimaklumkan, Ketua AMK Malaysia akan menjalankan proses konsultasi mengikut Peraturan Tetap AMK 2014 bagi memilih Ketua AMK Perlis yang baharu.


Mengulas lanjut, Nor Azam berkata, alasan berkenaan agak pelik berikutan tarikh PRU15 belum diumumkan selain AMK Selangor bawah kepimpinan Najwan Halimi telah menubuhkan jentera PRU15.


“Ini yang menjadi tanda tanya, secara tiba-tiba kami digugurkan. Tambahan pula, kesemua individu yang dipecat tiada masalah dalaman parti sebaliknya menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti,” katanya.


Menurutnya, tindakan itu tidak selari dengan usul diluluskan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-15, yang mengekalkan tempoh memegang jawatan bagi sesi kepimpinan 2018/2021.


“Saya tak pasti kenapa saya jadi sasaran. Sedangkan parti telah keluarkan arahan tangguhkan jawatankuasa sedia ada sehingga 2023, bermaksud semua jawatan di semua peringkat kekal hingga tamat tempoh itu.


Saya bukan daripada mana-mana kem dalam parti, walaupun ada pihak melabel kami dari kem tertentu. Kami tak ambil peduli dan hanya mahu fokus pada agenda parti,” katanya.


Nor Azam berkata, buat masa ini, beliau akan memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dan tidak mahu melayan karenah politik dalaman.


“Walaupun saya dan Najwan adalah ADUN, kami bukan nak berpolitik sangat, kami hanya mahu laksana tugas wakil rakyat dengan baik, nak kata saya dipecat sebab tak buat kerja, tengoklah sendiri Facebook saya dipenuhi pelbagai aktiviti, hairan kenapa tindakan seperti itu dibuat,” katanya.


Difahamkan, ada dakwaan mengatakan individu yang dipecat dikaitkan dengan 'gang baju hitam' atau ‘kartel 2.0’ yang digunakan untuk merujuk kepada kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika bersama PKR. Namun mereka kini kembali menyokong kepimpinan Anwar kerana masih setia kepada parti.


Beberapa pemimpin sayap parti itu di peringkat pusat turut dipecat, antaranya Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman.


Pada Isnin, AMK Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil langkah progresif dengan melaksanakan penyusunan semula kepimpinan dan merombak jawatankuasa organisasi AMK Perlis dan Selangor.


Nor Azam turut berharap pimpinan parti semua peringkat berhenti ‘berpolitik’ dan tumpukan kepada menyelesaikan permasalahan rakyat yang semakin menghimpit sejak pandemik Covid-19.


“Isu ekonomi, sara hidup rakyat stabilkan dahulu. Siapa layak bertanding PRU15 fikirkan kemudian, utamakan masalah dalam negara yang masih belum selesai.


Berhubung kemelut AMK, saya serahkan kepada kebijaksanaan pemimpin tertinggi parti untuk perhalusinya,” katanya.



--Sinar Harian