top of page
  • admin

OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

9 April

METNERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 24 Julai ini.


Katanya, TH Heavy Engineering (THHE) yang bertanggungjawab membina kapal itu turut memaklumkan OPV kedua dijangka diterima Maritim Malaysia hujung tahun ini.


Beliau berkata, THHE sudah menyelesaikan beberapa masalah yang menjadi punca kelewatan itu, termasuk pembayaran kepada vendor atau pembekal.


“Saya sekali lagi mengadakan lawatan ke Pulau Indah minggu lalu dan kali ini mereka ada tarikh lebih jelas.


“Jadi, mereka (THHE) memberikan tarikh baharu untuk penghantaran kapal OPV pertama, bukan Mac tetapi mereka berganjak ke 24 Julai tahun ini,” katanya menurut Berita Harian.


Februari lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, dua daripada tiga OPV itu dijangka siap dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada pertengahan serta hujung tahun ini.


Walaupun mengalami kelewatan berbanding jadual asal pada Mac dan Oktober ini, katanya, tiada tambahan kos dikenakan kepada projek itu.


Pada 6 Januari lepas, Saifuddin meminta projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan pada Mac dan Oktober ini.


Tetapi, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama dan kerajaan berpendirian tarikh serahan tidak diubah.

Kerajaan sebelum ini menyuntik pinjaman RM152.6 juta untuk memastikan projek OPV yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan tahun ini.

bottom of page