top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Orang Asli perlu diteliti oleh Jawatankuasa Dewan Negara - Isa Hamid

14 Oktober 2021

Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato' Isa bin Ab. Hamid menyatakan telah hampir lebih 65 tahun Pindaan Akta 134 ini tidak dikemaskini dan dipinda secara serius.


Beliau memohon Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Undang-undang melihat perkara ini supaya diberi ruang komuniti orang Asli untuk lebih berdaya saing dan dinamik dengan perubahan masa.

"Kalau kita lihat di New Zealand, terdapat banyak Akta Orang Asli, Akta Pendidikan satu akta, Akta pembangunan Tanah satu akta, dan Akta Kesihatan juga satu akta.

"Tetapi masyarakat orang Asli di Malaysia satu akta merangkumi banyak perkara dan hanya dua atau tiga sub/seksyen sahaja yang dibincangkan dan dibahaskan.


"Kalau mengikut akta orang Asli yang perlu berbudaya dan berbahasa orang Asli, saya tidak boleh menjadi Senator orang Asli," ujar beliau.

Beliau mencadangkan supaya Dewan mewujudkan satu jawatankuasa khas pembangunan orang asli di Parlimen.

Terdapat banyak isu yang berbangkit sepanjang zaman, antaranya isu tanah, isu wanita-wanita Asli berkahwin dengan warga asing, namun tidak ada satu Penasihat Undang-undang yang dapat memberi nasihat khas kepada Ketua Pengarah masayarakat orang Asli.

"Saya mohon dipanjangkan pegawai-pegawai seperti Pegawai PTG, Pegawai Seni dan Budaya serta Pegawai Koperasi di JAKOA kerana JAKOA banyak segmen dan memerlukan pegawai yang mahir.

"Saya juga sudah bahas mengenai mewujudkan semula Majlis Penasihat Orang Asli untuk melihat, memantau dan menangani isu-isu JAKOA,


"JAKOA tak dapat dipantau sepenuhnya oleh PLB, kerana mempunyai banyak Jabatan dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri," tambahnya.

Beliau turut membangkitkan tentang isu nelayan yang tiada lesen di Pontian, di mana seramai 145 orang nelayan yang berdaftar tiada lesen.

"Nelayan datang pada saya dan cakap yang mereka mahukan lesen bukannya nak dapatkan subsidi, dengan adanya lesen mereka dapatlah ke laut dan akhirnya tidak dihalau oleh Maritim dan APPM,

"Saya minta pada Kerajaan, kalau boleh sediakan lesen khas kepada nelayan ini untuk diberi tanpa subsidi,


"Tapi kalau nak bagi subsidi sekali, alangkah baiknya Kerajaan itu," seloroh beliau.


Sebahagian besar nelayan di Pasir Gudang juga tidak mempunyai lesen, iaitu seramai 173 orang Asli, 168 orang Melayu dan 6 orang Cina.

"Maka saya sebagai masyarakat nelayan, yang di mana sebelum saya berada di mana saya berada sekarang ini, saya minta Kerajaan Prihatin dalam perkara ini,"


Beliau yang turut berlatar belakangkan seorang pendidik turut membahaskan isu pendidikan di Pontian tentang menaiktarafkan Kolej Tingkatan Enam di Pontian.


"Kolej ini merupakan kolej yang terbaik di Malaysia, kta mengharapkan supaya ada pembinaan Dewan besar untuk aktiviti khas serta mewujudkan asrama,"


"Saya harap Kementerian mewujudkan asrama untuk kegunaan pelajar luar bandar terutamanya untuk pelajar kurang kemampuan dan pelajar orang Asli,"


--PN Online

bottom of page