top of page
  • admin

‘Orang Gila Saja Buat PRU Musim Banjir, Rakyat Menderita’ – Rafizi


TAPAH, 10 Okt – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli menempelak gesaan individu tertentu untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim banjir dianggap sebagai satu ‘kerja gila’.


Rafizi berkata, tindakan itu dilihat sebagai mementingkan diri tanpa memikirkan kesusahan yang dialami rakyat.


“Perkiraan ‘dia’ hanyalah untuk kembali ke Putrajaya. Dia tidak kisah orang nak tenggelam ke, rumah orang nak rosak ke, dia tidak kisah.


“Sepatutnya di tempat lain, kalau kita tahu bencana akan tiba, seluruh negara tumpu kepada usaha nak bantu orang.


“Itu sebab utama kita sendiri memang lantang dan saya merasakan ini kerja gila. Semua tahu banjir berlaku tiap-tiap tahun,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Ayuh Malaysia di Tapak Ekspo Bukit Baldwin di sini pada Sabtu.


Menurutnya, sekiranya diadakan pilihan raya, ia bukan sahaja menyusahkan pengundi malah kakitangan awam termasuk pasukan keselamatan yang telah melakukan persediaan banjir.


“Soalnya adalah pegawai kerajaan seperti tentera, polis, pegawai-pegawai pejabat daerah. Mereka ini yang sebenarnya bermesyuarat setiap minggu untuk persediaan banjir.

“Kalau bubar (Parlimen) masuk musim tengkujuh, segala tumpuan dan persediaan akan beralih kepada PRU kerana mereka juga yang akan mengendalikan pilihan raya.


“Mereka yang jaga keselamatan, mereka juga yang kena jaga ketua tempat mengundi dan lain-lain,” katanya.


Rafizi berkata, gesaan sedemikian akan memberi persepsi negatif terhadap ahli politik.

“Sebab itu orang tidak suka dengan ahli politik kerana dia tidak fikirkan lain hanya fikirkan dirinya sahaja. Yang penting dia mahu masuk dalam kerajaan balik.


“Saya ceramah setiap malam, berkempen, jaga jentera sampai sudah tiga kali mimpi Parlimen bubar, letih,” ujarnya.


Dalam pada itu, Rafizi mengesahkan KEADILAN akan bertanding di Parlimen Tapah pada pilihan raya kali ini.


“KEADILAN akan bertanding balik di Parlimen Tapah termasuk kerusi Ayer Kuning dan Chenderiang. Jadi buat yang terbaik supaya kita menang kali ini.


“Kalau pun tidak menang, pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik. Perak secara keseluruhannya tunggu masa kita ambil alih sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH),” jelas beliau.

bottom of page