top of page
  • admin

Orang Melayu tidak mengangap PKR, Amanah dan UMNO sebagai ‘Tonggak Melayu’

13 Mac

‘Tonggak Melayu’ yang diberikan kepada PKR, Amanah dan UMNO dalam kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) hanyalah sebuah ‘tanggapan’, sedang hakikatnya orang Melayu melihat DAP adalah parti terkuat dalam gabungan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.


Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Profesor Madya Dr Azmi Hassan berpendapat sejak penubuhan kerajaan Persekutuan, ketiga-tiga parti berkenaan gagal menawan sokongan Melayu.

“Persepsi (pengundi Melayu) adalah DAP lebih kuat (berbanding tiga parti itu). Mereka tidak melihat tiga parti itu ketika ini benar-benar mampu mempertahankan kepentingan agama dan bangsa Melayu.

“Itulah sebabnya mengapa kerajaan perpaduan kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, seperti yang kita saksikan dalam keputusan PRU-15,” katanya menurut FMT.


Sambil mengakui PKR merupakan platform parti berbilang bangsa yang terbaik, Azmi berkata, parti diterajui Anwar itu masih bergelut meraih sokongan pengundi Melayu.


Beliau berkata, UMNO kekal menjadi taruhan dalam mendapatkan sokongan Melayu, sekiranya parti itu lebih cenderung terhadap reformasi.


Katanya, gabungan perpaduan mampu menembusi teras Melayu pada PRN akan datang jika ahli UMNO memilih pemimpin yang mempunyai minda reformasi.


Minggu lepas, penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kelemahan ketara kerajaan adalah penerimaannya oleh orang Melayu.


Fauzi dari Universiti Sains Malaysia berkata, Anwar cuba meraih sokongan orang Melayu, namun dilihat masih tidak mencukupi.


Azmi bersetuju dengan pandangan Fauzi, dengan menyatakan Anwar sudah melakukan sehabis baik menyediakan insentif dan kelebihan kepada orang Melayu, Islam, dan Bumiputera, dalam Bajet 2023.


Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju, menyatakan Anwar perlu bekerja keras meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam kelompok berpendapatan rendah dan pertengahan, termasuk memerangi rasuah bagi menarik sokongan Melayu.


Tambahnya, mempromosikan “keadilan ekonomi” dan menentang rasuah antara teras utama Islam, dan secara semula jadinya boleh menawan sokongan Melayu.

bottom of page