• newsatmy

Oscar 2021: Riz Ahmed, pelakon Muslim pertama tercalon kategori Pelakon Lelaki Terbaik

19 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Pelakon dan pemuzik kelahiran Britain, Riz Ahmed muncul sebagai pelakon Muslim pertama menerima pencalonan Academy Awards ke-93 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.


Pencalonan diterima pelakon berketurunan Pakistan itu menerusi lakonannya dalam filem Sound of Metal.


Menerusi ciapan di laman Twitter, Riz atau nama sebenarnya Rizwan Ahmed menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghormatan dan sokongan diterima daripada pihak Academy buat dirinya.


“Saya menganggap pencalonan ini sebagai satu penghormatan apabila tercalon bersama rakan aktor yang menampilkan persembahan yang memberi inspirasi dan terima kasih kepada pihak Academy atas pengiktirafan ini.


“Perasaan sama dikongsi penulis skrip berbakat besar, Darius Marder dan pengarah, Paul Racci,” katanya.


Menerusi Sound of Metal, Riz melakonkan watak pemain dram yang hilang deria pendengaran untuk sebuah kumpulan yang memperjuangkan genre rock dan metal.

Bagi kategori ini, Riz menerima saingan hebat daripada mendiang Chadwick Boseman menerusi filem Ma Rainey’s Black Bottom, Anthony Hopkins (The Father), Gary Oldman (Mank) dan Steven Yeun (Minari).


Steven Yeun yang merupakan aktor berketurunan Amerika dan Korea juga muncul sebagai pelakon berdarah Asia pertama dicalonkan bagi kategori ini.


Anugerah berprestij ini akan berlangsung pada 26 April ini di Dolby Theatre di Union Station, Los Angeles.


Sekiranya menang, Riz akan mengatasi pencapaian seorang aktor muslim, Mahersala Ali yang pernah merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 2017 menerusi filem Moonlight dan 2019 (Green Book).

-Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.