top of page
  • Writer's pictureNihaba

Pan Gon optimis tanpa pemain idaman pada Piala Raja Thai



PETALING JAYA,17 Sept: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon, mendedahkan ramai pemain yang dimahukannya gagal disenaraikan menjelang Kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, bermula 22 hingga 25 Sept ini.


Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar pemain tersebut tetapi mendakwa ia disebabkan oleh masalah peribadi dan proses pemulihan kecederaan bagi sesetengah pemain.


"Saya teruja untuk melihat reaksi mereka terhadap gaya dan falsafah pasukan, kami akan cuba membina DNA Malaysia sendiri...jadi saya mahu melihat reaksi mereka jika mereka cukup cergas. "(Tetapi) saya rasa secara amnya sangat gembira dengan skuad ini, nampak sangat mantap dan saya akan terus mara ke hadapan," katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini, pada Jumaat.


Seramai 23 daripada 25 pemain dalam senarai melaporkan semalam dengan pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Shahrul Mohd Saad akan menyertai pasukan itu dalam beberapa hari akan datang kerana dilaporkan tidak sihat manakala seorang lagi pemain pertahanan, Dion Cools, akan menyertai pasukan itu di Thailand.


Skuad tersebut akan berlepas ke Chiang Mai, Selasa ini.


Mengulas mengenai perlawanan pertama menentang tuan rumah, jurulatih dari Korea Selatan itu, berkata ia adalah peluang baik untuk menguji anak buahnya menghadapi lawan yang berada di kedudukan yang lebih tinggi.


Kedudukan mencerminkan beberapa tahun kebelakangan ini apa yang telah mereka lakukan tetapi tidak menggambarkan detik ini...kami akan cuba yang terbaik untuk bersaing dengan mereka dan kami mahu melihat persembahan yang baik," katanya.


Pemenang kedua-dua perlawanan akan bertemu di final pada 25 Sept manakala pasukan yang kalah akan bersaing untuk tempat ketiga.


Malaysia pada era 1970-an pernah menjuarai empat edisi Piala Raja Thai, iaitu pada 1972, 1976, 1977 dan 1978.


Piala Raja Thai akan memberi peluang kepada Pan-gon menguji pemain baharu sebelum menghadapi Piala AFF, Disember ini.

-- BERNAMA

bottom of page