top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Pandora Papers: Zahid Hamidi miliki akaun persisir

KUALA LUMPUR 12 Oktober 2021

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta agar tiada sangkaan buruk dilemparkan terhadapnya ekoran memiliki akaun luar pesisir.


Walaupun mempunyai akaun luar pesisir, Ahli Parlimen (MP) Bagan Datuk itu memberitahu beliau tidak pernah melakukan sebarang cubaan untuk mengelak cukai.


Akaun luar pesisir milik Presiden UMNO di British Virgin Islands (BVI) itu dibuka ketika beliau melakukan pelaburan di China pada 1993.


Selain itu, katanya, pembukaan akaun luar pesisir itu dibuat sebelum beliau menceburi politik peringkat nasional, mahu pun menjadi MP.


“Ketika itu pelaburan dibuat di China dan sila rujuk kepada ‘hansard’ saya. Diharap Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan rakan lain jangan ada buruk sangka terhadap saya kerana saya tidak akan melarikan cukai.


“Malah, wang itu dibawa ke tanah air dan cukai dikenakan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), jika ada ketika itu.


“Namun syarikat itu telah ditutup kerana kita telah memperolehi semula pelaburan dibuat di China dan dividen telah diberikan kepada pemegang saham, manakala pinjaman telah dibayar kepada institusi kewangan yang terbabit,” katanya ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) bagi Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

bottom of page