top of page
  • newsatmy

PAS sedia berunding dengan parti tidak ekstrem: Tuan Ibrahim


ALOR STAR,1 Sept:Pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan selesai dalam masa terdekat selepas jawatankuasa Perundingan Kerusi PN tertubuh dan sudah bermesyuarat, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.


Tuan Ibrahim berkata buat masa ini proses rundingan kerusi sedang berjalan dengan baik antara parti komponen PN, bagaimanapun menegaskan PAS hanya akan berunding dengan parti yang tidak esktrem untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU-15.

“Ruang perbincangan sangat mudah, saya yakin boleh selesai dengan dua atau tiga kali perundingan, insya-Allah,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke-63 sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Alor Setar hari ini.


Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengulangi pendirian parti itu yang menolak untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan perkara itu diketahui pimpinan PN namun PAS terbuka untuk berbincang dengan parti luar PN yang tidak ekstrem bagi memastikan pembangkang tidak kembali berkuasa.


“Kajian yang dibuat bahawa tiada parti yang boleh memerintah sendiri Malaysia. Kita menyedari hakikat tersebut perlunya ada gabungan terbaik dan PAS terbuka mengadakan perbincangan rundingan dengan semua parti yang tidak ekstrem dan bukan PH dan kita nak menegaskan bahawa perlunya penyatuan tersebut,” katanya.


Namun katanya jika rundingan dengan parti selain PH gagal dicapai, PN sedia berdepan dalam apa juga keputusan termasuk bertembung dengan Barisan Nasional.


Tuan Ibrahim berkata PAS tidak akan meninggalkan Bersatu dan mengenang jasa parti itu yang meletakkan PAS sebagai satu daripada parti barisan kerajaan sekarang.

“Keberadaan kita dalam kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita (termasuk Bersatu) yang keluar daripada PH. Kita menghargai betapa besarnya perjuangan dan pengorbanan mereka. Sebab itu, bagi kita apa juga muafakat politik… kita tidak boleh ketepikan rakan kita dalam Bersatu,” katanya.


Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyatakan komitmen parti itu akan memberi laluan kepada 30 peratus calon muda PAS untuk menghadapi PRU15, justeru barisan Pemuda mesti bersiap sedia dalam menampilkan kepimpinan mereka


Agenda Daily

Comments


bottom of page