top of page
  • newsatmy

PAS setuju SPR tangguh pelaksanaan Undi 18

29 Mac 2021

MARANG: PAS bersetuju dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) yang dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.


Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata undi bukan hanya bergantung kepada usia semata-mata, sebaliknya kematangan rakyat untuk memilih kerajaan juga penting.

"Undi ini bergantung kepada kematangan, jangan undi usia 18 tahun saja, mesti ada kematangan dan kita tidak boleh terpengaruh dengan Barat.


"Dalam Islam ada sebut (mengenai) tahun kematangan, ia boleh berlaku di usia 16 tahun, 18 tahun, boleh juga berlaku 25 tahun. Ada orang (sudah berusia) 40 tahun, tetapi tak matang lagi.


"Tetapi, malangnya kita berpandukan kepada konsep demokrasi Barat, pada usia bukan di tahap kematangan," katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini, hari ini.


Ditanya sama ada PAS terkesan dengan keputusan dibuat SPR itu, Ahli Parlimen Marang berkenaan berkata, PAS tidak menerima sebarang kesan dengan keputusan dibuat kerana parti itu mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.


"Bagi PAS, kematangan lebih penting berbanding usia sebagai kelayakan untuk menjadi pengundi. Kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang, kalau rakyat mentah, pilih kerajaan juga mentah," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.


Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.


Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.


"Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR," katanya.


- Berita Harian

bottom of page