top of page
  • Writer's pictureNihaba

Pasport Najib dikembalikan

18 Oktober-KUALA LUMPUR

Pasport Datuk Seri Najib Razak dikembalikan juga sama seperti isterinya minggu lepas, ia selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonannya untuk menemani anaknya bersalin di Singapura. Keputusan itu dibuat oleh panel tiga Hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said pagi ini yang sebulat suara membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu agar pasportnya dipulangkan dari 20 Oktober hingga 22 Nov. Kamaludin dalam keputusannya hari ini berkata, penjelasan daripada pihak pembelaan agar pasport itu dipulangkan adalah munasabah. “Dalam hal ini, pihak pendakwa raya tidak keberatan, dan kami dapati penjelasan bagi permohonan itu munasabah, oleh ini permohonan dibenarkan,” kata Kamaludin. Anggota panel hakim lain yang bersidang hari ini ialah Datuk P Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan sama. Sebelum ini Rosmah menyerahkan pasportnya kepada Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan sementara menunggu perbicaraan kes rasuah membabitkan projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Najib membuat permohonan tersebut pada 15 Oktober lalu di Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Singapura bagi bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan bersalin di negara itu. Untuk rekod, Najib sebelum ini sudah dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).


bottom of page