top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

"Pastikan PN menang dahulu baru fikir soal jawatan Ketua Menteri" - Yadzil Yaakub

8 NOVEMBER 2021

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula dengan proses penamaan calon bagi semua 28 kerusi pagi ini.


Naib Pengerusi Perikatan Nasional Melaka merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka dan Ketua Bahagian Bersatu Jasin, YB Dr. Mohd Yadzil Yaakub hari ini berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tak langsung serta kepada yang menyokong beliau sehingga capai ke tahap ini.


"Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Ibu Bapa saya serta Ibu Bapa mertua, Isteri, ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan saya yang banyak menyokong dan membantu saya,


"Tidak lupa juga kepada semua penduduk di sekitar Bembang terutamanya yang telah memberikan sokongan kepada saya, InshaAllah saya akan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya,


"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang telah memberikan kepercayaan beliau kepada saya untuk berada di DUN Bemban,


"Saya memohon kepada semua penduduk sekitar Bemban terutamanya untuk turun mengundi dan pilihlah calon yang terbaik,


"Kami di peringkat Perikatan Nasional (PN) memahami ramai di luar sana tidak sanggup untuk berhadapan dengan PRN di kala kita sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, namun apakan daya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 5 Oktober lepas telah memaksa PRN diadakan,


"Saya menyeru kepada warga Melaka yang layak, laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai pengundi dalam memastikan amalan demokrasi kekal subur demi memastikan masa depan negeri kita yang tercinta ini terus cerah,


"Pesanan saya, tidak kira siapa sahaja di luar sana, jagalah kesihatan, patuhi SOP dan kita jaga kita,


"Saya lihat ramai calon yang berkaliber dan lebih berpengalaman, namun saya harap penduduk sekitar Bemban dapat memberikan kepercayaan kepada saya, pilihlah saya dan undilah Perikatan Nasional," ujar beliau.


Ketika disoal berkenaan adakah beliau ingin mendapatkan jawatan Ketua Menteri Melaka, beliau berkata beliau tidak ingin berfikir soal itu dahulu kerana ingin memberi fokus sepenuhnya kepada kemenangan Parti.


"Saya tak berharap sangat dengan jawatan Ketua Menteri, yang saya harapkan hanyalah semoga saya dapat menang bertanding di DUN Bemban ini dan seterusnya dapat memberikan kemenangan kepada Parti Perikatan Nasional,


"Soal layak atau tidak menjadi Ketua Menteri Melaka itu, kita tolak tepi dahulu. Saya nak pastikan Parti kita menang dahulu, inshaAllah," tambahnya lagi.



bottom of page