top of page
  • newsatmy

Pasukan KDA FC punyai semangat juang begitu tinggi - Sanusi

16 NOVEMBER 2021

ALOR SETAR: Pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC disifatkan mempunyai semangat juang yang begitu tinggi meskipun mencatatkan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman di sini semalam.


Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata perlawanan itu sememangnya sengit dan beliau berbangga dengan persembahan dipamerkan anak buah ketua jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak.


"Saya turut hadir ke stadium untuk saksikan perlawanan itu, memang kita jangka kita akan balun JDT tetapi ternyata JDT bukanlah lawan yang calang-calang dan mereka juga terpaksa mengakui kehebatan Kedah Darul Aman.


"...kita mempunyai semangat juang, semangat waja, semangat perjuangan begitu tinggi. Terima kasih kepada pasukan KDA FC, tahniah saya ucapkan," kata Menteri Besar Kedah itu pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.


Aidil Sharin dilaporkan media hari ini mahu anak buahnya fokus terhadap persiapan untuk perlawanan suku akhir kedua bertemu JDT yang akan berlangsung pada Khamis ini.


Ketua jurulatih itu yakin dengan strategi dan persiapan mencukupi, tidak mustahil pasukannya dapat melakukan yang terbaik pada perlawanan itu nanti meskipun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.

bottom of page