top of page
  • newsatmy

Pasukan Liga-M dibenar teruskan latihan secara 'camp-based' training - MFL

31 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kesemua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) telah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk meneruskan latihan secara camp-based training sepanjang tempoh 14 hari sekatan pergerakan penuh mulai esok.


Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan camp-based training itu bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara.


"Demi keselamatan serta kesihatan pegawai dan pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan manakala lain-lain aktiviti seperti perlawanan persahabatan atau apa-apa aktiviti merentas daerah atau negeri tidak dibenarkan sama sekali sehingga diputuskan berlainan kelak.



"Sehubungan itu, MFL menggesa semua pasukan memberi kerjasama baik agar mematuhi SOP dikuatkuasakan serta memberi kerjasama kepada agensi kerajaan dan komisioner perlawanan dilantik MFL yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan SOP di peringkat pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata MFL menghargai keprihatinan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan yang telah diberikan kepada pasukan Liga-M meneruskan latihan ketika total lockdown fasa pertama ini.


Ab Ghani percaya kelonggaran itu turut memberi kelegaan buat pasukan dalam membuat persiapan sebelum Liga-M kembali bersambung Julai ini berikutan penglibatan Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.


Selain itu, pemain kebangsaan turut terlibat pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan kesemua kejohanan berlangsung bulan depan.


"Selain itu, MFL turut mengambil kira kuarantin selama 14 hari yang perlu dijalankan oleh pasukan yang terlibat apabila kembali ke ibu negara


"Sebarang kecuaian atau pelanggaran SOP akan mengakibatkan pasukan boleh dikenakan tindakan oleh MFL atau kerajaan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)," katanya.


Setakat ini, empat pasukan Liga Super iaitu JDT, KDA FC, Terengganu FC dan UiTM FC serta Terengganu FC II dan PDRM FC daripada Liga Premier sudah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan camp-based training.



-- BERNAMA

bottom of page