top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Patung Squid Game benar-benar wujud, lagu 'berhantu' jadi fenomena

3 Oktober 2021

KEGILAAN terhadap siri drama Squid Game telah mempopularkan salah satu watak pentingnya - patung menyeramkan dengan imej seperti kanak-kanak sekolah, memakai pakaian berwarna kuning dan oren.


Patung itu bukan sekadar props drama, tetapi ia memang wujud.


Patung yang menjadi fokus permainan berdarah "red light, green light" dalam siri berkenaan, boleh ditemui di Jincheon County, sebuah kawasan perkampungan terletak tiga jam ke utara Seoul.


Ia 'menjaga' pintu masuk sebuah muzium kereta kuda yang dipanggil Macha Land, menurut portal Koreaboo.


Patung itu dibuat khusus untuk siri berkenaan, dan mengikut perjanjian, ia akan disimpan di muzium tersebut selepas tamat penggambaran.


Dalam gambar-gambar yang tersebar, patung itu kelihatan kehilangan sebelah tangannya, yang dipercayai rosak semasa proses pemindahan semula ke muzium.


Namun situasi itu membuatkan pelbagai teori muncul dalam kalangan penggemar siri tersebut.


Bagaimanapun, patung itu dikatakan tidak akan lagi dipamerkan susulan kegilaan luar biasa peminat.


Kegilaan terhadap Squid Game juga telah menghasilkan ratusan ribu video parodi di TikTok, dengan banyak yang memainkan suara nyanyian boneka itu yang memimpin permainan yang penuh mendebarkan.


Di Malaysia, video seumpama itu juga banyak dimuat naik, termasuk oleh Amsyar Lee yang cukup dikenali dengan kebolehannya meniru suara ramai penyanyi.


Menariknya, video Amsyar memaparkan dia menyanyikan ungkapan lirik mugunghwa Kkoci Pieot Seumnida dengan meniru suara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Dayang Nurfaizah.


Squid Game, yang ditayangkan di sebuah platfrom penstriman, mengisahkan sekumpulan individu yang berhutang dan tidak mempunyai cara untuk melangsaikannya, ditawarkan "peluang" dengan mempertaruhkan nyawa mereka bagi mendapatkan sejumlah wang yang banyak.


Comments


bottom of page