• newsatmy

PAU 2020: Perwakilan perlu dapat kebenaran rentas negeri - Ismail Sabri

22 Mac 2021

IPOH: Perwakilan dari setiap negeri yang terlibat dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di ibu negara pada hujung minggu depan, perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis sebelum merentas negeri.


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setiap bahagian hanya boleh menghantar enam orang wakil ke PAU 2020 itu berikutan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pandemik COVID-19.


"Kerana ada sekatan jalan raya yang memerlukan kebenaran untuk bergerak. Kepada yang tiada surat kebenaran akan diminta berpatah balik," kata Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan UMNO itu kepada Bernama dan UMNO Online selepas menghadiri sebuah majlis tertutup di sini hari ini.


UMNO akan menganjurkan PAU 2020 pada 27 dan 28 Mac (Sabtu dan Ahad) ini dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, pelaksanaannya adalah kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan juga secara maya.


Dalam pada itu, Ismail, yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), berkata kehadiran perwakilan pada PAU 2020 itu juga mengikut SOP yang ditetapkan iaitu 50 peratus daripada keluasan dewan memandangkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 31 Mac ini.


"Jadi kehadiran (perwakilan) tidak sampai 1,000 kerana dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) boleh memuatkan lebih kurang 2,800 orang," jelasnya.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.