top of page
  • newsatmy

PAU 2020: UMNO akan bekerjasama dengan pihak berprinsip

27 Mac 2021 KUALA LUMPUR: UMNO melalui Barisan Nasional (BN) hanya akan bekerjasama dengan mereka yang berprinsip dan diterima rakyat.


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO tidak akan terburu-buru memeta pembaharuan politik, sebaliknya mengambil pendekatan berhati-hati dengan perkiraaan jangka panjang yang matang.


"Pembaikan politik yang ingin kita terokai dan pertimbangkan mesti dipagar dengan nilai, prinsip dan syarat-syarat yang ketat.


"Ia mesti menguntungkan UMNO, orang Melayu dan Islam. Tidak ada kompromi. Perjuangan dan kepentingan orang Melayu dan Islam tidak akan ditinggalkan dan dikompromikan oleh UMNO.


"Apa guna memegang kuasa kalau Melayu binasa. Apa guna bekerjasama kalau Melayu kekal di takuk lama," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.


Yang turut hadir ialah tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan. -BH Online

bottom of page