• newsatmy

PAU2020: Hubungan UMNO-Pas tidak wajar disamakan dengan UMNO-Bersatu - Saarani

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk mempersoalkan mengapa UMNO boleh bekerjasama dengan seterunya selama hampir 40 tahun, iaitu Pas, tetapi tidak boleh bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.


Menteri Besar Perak itu berkata, kerjasama UMNO-Pas dimeterai ketika kedua-dua parti terbesar Melayu itu tiada apa-apa, selepas Pilihan Raya Umum 2018.


Katanya lagi, kesetiaan UMNO terhadap Muafakat Nasional (MN) adalah kerana kedua-dua parti itu teguh bermuafakat, walaupun sering dicaci dan diherdik ketika menjadi Pembangkang dahulu.


“UMNO tidak pernah secara senyap-senyap mencuri ahli Pas. Pas juga tidak pernah mencuri ahli UMNO. Dalam pilihan raya, ketika UMNO bertanding, Pas dan seluruh jenteranya setia membantu.


“Sepanjang pertempuran di medan pilihan raya, Pas tidak pernah meletakkan calon bebas untuk mengalahkan UMNO. Pendek kata, UMNO dan Pas, keduanya saling menguatkan, bukan melemahkan,” katanya sewaktu berucap menyampaikan Usul Menyokong Ucapan Dasar Presiden, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) hari ini.


Saarani berkata, hubungan antara dua parti itu tidak dibayangi kesangsian, kerana muafakat yang terbina itu dipaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan.


Jelasnya lagi, perpaduan ummah yang dirintis UMNO dan Pas, bukan berkisar soal kepentingan politik semata-mata, sebaliknya ia menongkah konteks yang luas dan melebar.


Berucap lanjut, Saarani berkata, UMNO perlu lebih tegas, dan berhati-hati dengan musuh baik dalaman mahupun luaran, terutamanya mereka yang cuba memutar belit perspektif perpaduan ummah.


“Watak-watak yang dahulunya berkomplot menjatuhkan UMNO, tetapi kini bersama UMNO dalam kerajaan, juga sudah bertukar nada. Kalau dahulu, mereka berasa alergik dan jijik bercakap mengenai perpaduan ummah, kini mereka begitu fasih menuturkannya.


“Ketika cengkaman kerusi pemerintahan semakin lemah dan melonglai, mereka mula nyaring berbicara soal kesatuan dan kebersamaan,” katanya lagi.


Sehubungan itu, Saarani berkata, UMNO dan BN perlu mengambil peluang daripada kecelaruan politik untuk membuktikan mereka sebenarnya layak menerajui pemerintahan negara.


“Bukan kita sombong dan riak seolah-olah hanya kita yang layak menjadi kerajaan, tetapi kita ada track record yang menjadi saksi kepada kemampuan kita mentadbir negara. Kita ada report card yang menunjukkan kemampuan kita dalam memimpin kestabilan.


“Kita perlu tunjukkan bahawa UMNO ada agenda besar untuk rakyat secara keseluruhan. Bukan sekadar untuk menyuburkan perpaduan ummah, tetapi juga menyakinkan orang bukan Melayu bahawa UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu punya agenda yang konkrit untuk Malaysia yang lebih baik. Untuk Malaysia yang stabil dan berjaya,” katanya lagi.


- Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.