top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

PdPR 2.0 bebankan guru dan murid?

10 Februari 2021

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 2.0 bagi mengelakkan pelajar dan guru menjadi mangsa kepada sistem itu.


Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata tempoh pelaksanaan PdPR 2.0 iaitu 5 jam 30 minit, bermula dari 7.30 pagi hingga 1 tengah hari ini berbanding hanya satu hingga dua jam PdPR sedia ada menunjukkan ia masih menekankan kaedah pembelajaran ketika situasi 'aman' sebelum pandemik COVID-19.


"Melihat kepada tempoh PdpR 2.0, ini terlalu panjang, sudah pasti ia akan menimbulkan keresahan dalam kalangan guru dan juga pelajar.


"Sedangkan pelaksanaan PdPR 1.0, para guru dan pelajar menghadapi pelbagai kekangan dan masalah yang kita sedia maklum dan perlu diambil kira untuk mempertimbangkan semula. Bagi KGBS tempoh PdPR yang panjang ini bukan sahaja menimbulkan masalah kepada warga pendidik, lebih terkesan ialah pelajar atau murid kita.


"Murid amat terkesan bukan sahaja dari segi fizikal kerana kepekatan tetapi sosioemosi akibat berhadapan dengan PdPR dalam tempoh yang panjang," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas arahan baharu KPM, PdPR 2.0 akan dilaksanakan selepas PdPR pertama diperkenalkan Oktober 2020.


Bagaimanapun, pelaksanaan PdPR versi 2 itu mendapat pelbagai reaksi termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang turut melakukan kaji selidik mengenai maklum balas pelajar bagi tempoh pelaksanaan PdPR 2.0 selama 5 jam 30 minit.


Setiausaha Agung NUTP Harry Tan dilaporkan portal berita kebangsaan, hasil kaji selidik itu membabitkan 14,298 responden, 98 peratus (14,043) menyatakan belum masanya untuk murid membiasakan diri belajar dari 7.30 pagi hingga 1 tengah hari di hadapan komputer, komputer riba atau telefon bimbit sehari, serta masih ramai murid belum ada peranti untuk PdPR terutama dari keluarga berpendapatan rendah.


Ahmad yang juga Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) negeri Sarawak berkata di samping itu, isu prasarana juga mesti diambil kira dalam pelaksanaan PdPR 2.0 khususnya di Sarawak.


"Di Sarawak kebanyakan lokasi masih memerlukan prasarana PdPR seperti isu capaian internet, kekurangan peranti gajet dan dari segi perhubungan.


"Justeru KGBS menyarankan agar KPM meneliti semula Manual PdPR 2.0 tersebut secara kolektif dan komprehensif selain perlu mengambil kira faktor kita berada dalam kehidupan norma baharu, bukannya masih dalam situasi 'aman' seperti amalan terdahulu," katanya.


Ini penting katanya demi kebaikan semua pihak sebelum manual tersebut dilaksana dan dikuatkuasakan.


Lantaran itu tambahnya KGBS, menyatakan kesedian untuk memberi pandangan lanjut jika dipelawa KPM dalam sesi perbincangan atau sindikasi berkaitan.


"KGBS berharap KPM dapat mempertimbangkan saranan kami untuk kebaikan bersama. – PN Online

bottom of page