top of page
  • newsatmy

PDRM pertimbang tambah sekatan jalan raya


7 April 2021 NIBONG TEBAL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan langkah menambah sekatan jalan raya di seluruh negara bagi mengelakkan orang ramai mengambil kesempatan merentas negeri untuk menyambut Ramadan di kampung halaman.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata usaha memperketatkan pemeriksaan akan turut memfokus kepada laluan lorong tikus.

Malah, katanya, semua anggota polis diarahkan supaya terus mengambil tindakan tegas dan tidak lagi memberi nasihat, terhadap individu merentas negeri tanpa sebab munasabah.

Ketika ini, beliau berkata, sebanyak 35 sekatan jalan raya diadakan di pintu masuk sempadan negeri di seluruh negara. "Sudah menjadi budaya setiap kali menjelang Ramadan, banyak pergerakan merentas negeri akan berlaku untuk menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

"Justeru bagi mengelakkan perkara itu berlaku, polis mempertimbang langkah memperketatkan pemeriksaan dengan menambah sekatan jalan raya, terutama di laluan lorong tikus, untuk memastikan tiada pergerakan merentas negeri tanpa sebab munasabah. "Ini perlu kerana penularan kes COVID-19 yang sepatutnya menurun, dilihat masih tinggi, malah timbul kluster baharu berikutan pergerakan merentas negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan kepada dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, yang berjaya menahan ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa pada 25 Februari lalu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin menasihati orang ramai supaya mengawal pergerakan masing-masing demi kebaikan bersama.

"Ketika ini, jangan balik kampung supaya kita boleh raya nanti. Sekarang, tolong menjaga pergerakan," katanya.

Ditanya berita tular mendakwa individu mahu merentas negeri akan diminta menyertakan jadual perjalanan serta aktiviti dilakukan pula, Zainal Abidin menjelaskan bahawa pengurusan tertinggi PDRM tiada mengeluarkan arahan seumpama itu, setakat ini.

"Kita tidak meminta sampai tahap itu (jadual aktiviti). Cuma kalau hendak merentas negeri hingga seminggu, kita mahu tahu apa alasannya," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, PDRM sedang menunggu untuk menerima baki 175 daripada 425 kenderaan peronda polis (MPV) baharu model Honda Civic 1.8.

Katanya, PDRM sekali gus berharap pemberian kenderaan itu dapat disegerakan kerana ia amat diperlukan untuk mempertingkat kecekapan tugas rondaan jenayah.

"Pada masa sama, kita berharap lebih 800 MPV yang sudah melebihi jangka hayat lima tahun juga dapat ditukarkan," katanya. -BH Online


bottom of page