top of page
  • newsatmy

PDRM tawar diskaun 50 peratus saman trafik

25 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi saman terpilih kepada mereka yang membuat pembayaran melalui portal dan aplikasi MyBayarSaman.


Tawaran diskaun itu berlangsung selama 18 hari bermula hari ini sehingga 11 April bagi menggalakkan orang ramai menggunakan portal dan aplikasi MyBayarSaman dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersempena Sambutan Hari Peringatan Polis ke-214, hari ini.


Abdul Hamid berkata, analisis dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menunjukkan budaya pembayaran kompaun saman secara e-pembayaran semakin meningkat sejak tahun lalu iaitu 46.7 peratus berbanding 18.5 peratus pada tahun 2019.


"JSPT membangunkan portal dan aplilkasi MyBayarSaman, iaitu kaedah pembayaran yang cepat dan mudah diilhamkan Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias.


"MyBayarSaman dilancarkan selaras dengan inisiatif kerajaan bagi menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang tahun 2022," katanya selepas melancarkan portal dan aplilkasi MyBayar Saman di Bukit Aman, hari ini.


Abdul Hamid berkata, bagi menggunakan kemudahan itu pada telefon bimbit, pengguna perlu memuat turun aplikasi MyBayarSaman sama ada di Google Play Store atau Apple Apps Store.


"MyBayarSaman juga boleh diakses melalui laman sesawang PDRM iaitu www.mybayar.rmp.gov.my.


"Saya harap kewujudan MyBayarSaman akan mengurangkan kebergantungan JSPT kepada ajen kutipan swasta serta meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan JSPT kepada orang ramai.


"Ia seterusnya memenuhi harapan pengguna untuk membayar saman tanpa had masa dan sempadan selain tidak dikenakan caj perkhidmatan," katanya.


Katanya, MyBayarSaman ini dapat menjadi penanda aras baru dalam meningkatkan tadbir urus kewangan PDRM seterusnya mendukung dasar MY Digital dilancarkan kerajaan. -BH Online

bottom of page