top of page
  • zaman

Pejabat PMO jadi tumpuan wartawan sejak pagi


PUTRA JAYA,10 OKT:Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya menjadi tumpuan wartawan yang mula berkumpul di luar perkarangan pintu masuk selepas spekulasi pembubaran Parlimen semakin bertiup kuat.


Wartawan sudah mula berkampung sejak jam 8 pagi di hadapan pintu protokol yang lazimnya ditutup dilihat dibuka menimbulkan tanda tanya adakah akan ada pengumuman penting daripada PM hari ini.


Beberapa wartawan tempatan dilihat mula berkumpul di luar perkarangan pintu masuk PMO di Putrajaya selepas media melaporkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen.


Semalam, media melaporkan Ismail Sabri menghadap Agong di Istana Negara kali kedua dalam tempoh empat hari bagi mendapat perkenan membubarkan Parlimen.


Sementara itu, hasil semakan dan difahamkan, PM tidak mempunyai sebarang program rasmi di sebelah pagi hari ini.


Namun, Ahli Parlimen Bera itu dijadual menghadiri Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada jam 2.30 petang.


Selain itu, Ismail Sabri juga dijangka menghadiri mesyuarat khas MajlisTertinggi (MKT) UMNO malam ini, dipercayai bagi memperinci persiapan PRU15 serta memuktamadkan bentuk kerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) kelak.


Sekiranya Parlimen dibubarkan hari ini iaitu sembilan bulan sebelum penggalnya tamat, PRU kemungkinan diadakan pada minggu pertama November, berdasarkan amalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU 2013 dan 2018.

bottom of page