• newsatmy

Pekebun kecil Risda, peserta Felcra terima dividen RM189.08 juta - Muhyiddin

27 April 2021

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembayaran dividen kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dengan jumlah keseluruhan RM189.08 juta.


Muhyiddin berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju menyelaraskan pengagihan dividen berkenaan sebahagian usaha kerajaan membantu komuniti pekebun kecil Risda dan Felcra.


“Melalui dividen Risda seramai 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan seramai 15,165 orang pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK) bakal menerima dividen tahun 2020 dengan jumlah RM82.03 juta melibatkan keluasan 39,430 hektar.


“Saya difahamkan Risda turut mengagihkan keuntungan zakat korporat kepada lebih 4,000 orang asnaf pekebun kecil dan institusi agama terpilih di seluruh Malaysia dengan nilai zakat berjumlah RM2.48 juta.


“Sebanyak 58,826 peserta Felcra Berhad di seluruh negara akan menerima agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 sejumlah RM107.053 juta secara berperingkat, bermula hari ini,” kata Muhyiddin dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra tahun 2021 di Auditorium Suktan Ahmad Shah, Ibu Pejabat Risda pada Selasa.


-Astro Awani