top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pelakon, pengarah mengaku salah miliki dadah

13 Oktober 2021

KUALA KANGSAR: Seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa atas tuduhan memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2 di sini, pada Ahad.


Tertuduh, pelakon Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 29, pengarah Mohd Latif Zami, 49 dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Shazmeer Zamhari.


Mengikut kertas pertuduhan Muhamad Niezam didakwa memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis manakala Mohd Latif dituduh memiliki 0.30 gram dadah jenis yang sama.


Saiful Zaidrin pula dituduh memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis Methamphetamine.


Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar, pada 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.


Muhamad Niezam dan Mohd Latif didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksima RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Saiful Zaidrin pula dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksima RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan Muhamad Niezam dijamin RM3,000, Mohd Latif RM2,600 dan

Saiful Zaidrin RM3,200, masing-masing dengan seorang penjamin.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan kimia.


Kesemua mereka membayar wang jaminan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.

bottom of page