top of page
  • newsatmy

Pelakon veteran, Shamsudin Baslah meninggal dunia

28 April 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Shamsudin Baslah, 74, meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang, Selangor, akibat sakit tua, pada jam 5.30 petang tadi.


Pengerusi Persatuan Pembangunan Wanita Kuala Selangor, Sarah Samsuri, berkata Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas didapati tenat, tengah hari tadi.


"Arwah tiada penyakit cuma buang air kecil melalui tiub dan tidak boleh bersuara.


Sebenarnya, sudah dua hingga tiga hari keadaan arwah tidak berapa baik.


Allahyarham Shamsudin tidak menghidap penyakit kronik tetapi membuang air kecil melalui tiub dan tidak boleh bercakap.


"Kami mendapat tahu, arwah tenat tengah hari tadi, lalu dibawa ke hospital," katanya kepada BH Online.


Aktif sejak era 1980-an, arwah dikenali melalui lakonan dalam filem Bukit Kepong pada 1981, Penentuan (1982) dan Bila Hati Telah Retak (1983).


Selain berlakon, arwah juga menggalas tugas pengarah dan penerbit.


Sarah berkata, jenazah akan dibawa ke Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA), Sekinchan, sebaik selesai ujian pengesanan COVID-19 dan sebagainya, esok.


"Lokasi jenazah bakal dikebumikan belum diputuskan. Kemungkinan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai," katanya.


Difahamkan, Shamsudin ditempatkan di Pusat Jagaan Warga Tua SRA oleh isteri keempatnya, sejak setahun lalu.


Sarah berkata, kos penginapan arwah di pusat jagaan itu ditanggung Lembaga Zakat Selangor.


"Lembaga Zakat Selangor menyalurkan kira-kira RM800 setiap bulan. Namun, kos itu tidak mencukupi untuk seorang pesakit.


"Arwah memiliki anak, namun, tiada butiran lanjut diperoleh. Namun, anak lelaki daripada perkahwinan keempatnya sering menziarah arwah.


"Keluarganya sudah dimaklumkan mengenai pemergian arwah," katanya.


-Astro Awani

bottom of page