top of page
  • newsatmy

Pelanggan kini boleh menstrim Netflix di Astro

10 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Pelanggan Astro kini boleh menstrim Netflix menggunakan peranti Astro dan menikmati lebih nilai dan penjimatan menerusi pek langganan yang diperkenalkan melalui ‘Pengalaman Baharu Astro’.


Inisiatif terbaharu ini membolehkan pelanggan menstrim semua program kegemaran mereka menerusia Ultra Box dan selepas ini, mereka boleh melakukannya dengan Ulti Box juga.


Astro dalam satu kenyataan di sini berkata, pek terbaharu ini direka khas untuk pelanggan yang gemarkan dunia penstriman dan sentiasa berhubung di antara satu sama lain.


Menurut kenyataan itu lagi, menerusi satu platform utama iaitu Astro, pelanggan boleh menikmati program penstriman terkemuka dunia seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+ serta acara sukan berprestij dunia.


“Pakej-pakej terbaharu Astro ini adalah Pek ‘Primary’, ‘Entertainment’, ‘Sports’, ‘Movies’, ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 1, 2, 3’ dan ‘Platinum’.


“Untuk Pek ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 2, 3’ dan ‘Platinum’, ia akan disertakan bersama Netflix dan sajian kandungan dari Korea serta rancangan-rancangan Seram, serta variasi hiburan seperti HGTV HD, Cartoon Network HD dan program-program terhebat Asia.


“Pengalaman Baharu Terhebat Astro' ini direka khas untuk menggalakkan pelanggan strim program-program kegemaran masing-masing di satu platform utama, dengan antara muka yang intuitif dan semuanya ini dalam satu bil sahaja,” menurut kenyataan itu.


Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Astro, Euan Smith berkata, Astro sentiasa peka dan mendengar kehendak pelanggan dan memperkemaskan segala perkhidmatan dari semasa ke semasa.


“Ini adalah khas buat pelanggan yang menginginkan sesuatu yang mampu menepati kehendak mereka, dengan menawarkan lebih banyak pilihan menerusi kelbagaian kandungan yang lebih hebat dan menarik, namun begitu pada masa yang sama memiliki faktor lebih nilai.


“Kami begitu teruja kerana dapat berkolaborasi bersama Netflix dalam membawakan pelbagai jenis kandungan terhebat menerusi Astro seterusnya merealisasikan misi kami untuk menjadi pusat sehenti utama dunia hiburan,” katanya.


Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, APAC, Netflix, Tony Zameczkowski pula menyatakan pihaknya gembira dapat berkolaborasi dengan Astro melalui pek terbaharu itu.

“Kami di Netflix begitu teruja untuk membawakan pengalaman hiburan lebih hebat ke alat peranti yang pelbagai kepada lebih ramai rakyat Malaysia di luar sana.


“Di Netflix, misi utama kami adalah untuk menyajikan hiburan terhebat yang tiada tandingannya kepada setiap pelanggan kami.


“Oleh yang demikian, kami begitu gembira apabila kolaborasi bersama Astro ini mampu membuka peluang kepada lebih rakyat Malaysia merasai pengalaman terbaharu dan menikmati katalog kandungan kami yang pelbagai,” ujarnya.

Comments


bottom of page