• Arissa

Pelantikan Ismail Sabri kukuh hubungan Sabah-Persekutuan

21 Ogos 2021

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu akan mengukuhkan lagi hubungan antara Sabah dan Persekutuan.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan GRS menyokong penuh pelantikan beliau dan berharap hubungan Sabah dan Persekutuan akan mempercepatkan usaha membangunkan negeri dan mengambil kira hak-hak Sabah.


“Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu-isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah.


“Sekarang pergolakan kepemimpinan di peringkat Persekutuan telah diselesaikan, marilah kita semua bersatu, mengetepikan perbezaan dan terus bergerak untuk memerangi pandemik Covid-19 serta membangun kembali ekonomi kita,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Hajiji yang juga Pengerusi GRS merakamkan ucapan tahniah terhadap Ahli Parlimen Bera dan berterima kasih kepada Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmatnya kepada rakyat dan negara serta sumbangannya kepada Sabah.


Sebelum itu, Istana Negara dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.