top of page
  • newsatmy

Pemain United rindu aksi Pogba

19 Mac 2021 MILAN: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata pasukannya merindui Paul Pogba selepas pemain Perancis itu membantu pasukan Liga Perdana itu mara ke suku akhir Liga Europa menerusi kemenangan 1-0 di AC Milan.


Pogba yang tidak beraksi dalam 10 perlawanan United sebelum ini kerana kecederaan paha, memerlukan hanya tiga minit bagi membuktikan nilai sebenarnya pada saingan kelompok 16 terakhir awal pagi tadi.


Ketika United bergelut mencari gol di San Siro selepas seri di laman sendiri 1-1 sebelum ini, Pogba masuk pada babak pertama dan segera mendatangkan impak dengan penyudah bijak.

"Kami merindui Paul – dia tidak bermain hampir dua bulan," kata Solskjaer.


"Dia semakin hampir kembali ke prestasi terbaiknya sebelum kecederaan. Dia akan menjadi rangsangan tambahan untuk baki musim ini."

Kebolehan dimiliki pemenang Piala Dunia dari Perancis itu sememangnya disedari rakan sepasukannya.


"Akan sentiasa ada perbezaan apabila anda memiliki pemain kelas dunia seperti Paul," kata pertahanan kiri, Luke Shaw kepada BT Sport.


"Dia mencipta perbezaan."


Nama besar lain yang membuat kemunculan semula selepas kecederaan di San Siro ialah penyerang Milan, Zlatan Ibrahimovic namun dia tidak menemui sasaran ketika berdepan kelab lamanya apabila dimasukkan pada babak kedua.


Cubaan pemain Sweden itu yang beraksi selama dua musim di United pada 2016 hingga 2018 dinafikan Dean Henderson namun kelab Itali itu tidak menguji sepenuhnya penjaga gol United itu sepanjang 90 minit permainan. -BH Online

bottom of page