top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pembangkang sengaja politikkan isu penangguhan sidang Parlimen

2 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata kerajaan tidak menutup Parlimen, sebaliknya ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan kepada penilaian risiko.


Katanya, pembangkang sepatutnya memberi kerjasama kerana arahan penangguhan itu dibuat mengikut Akta 342.

“Kita bukan tutup, kita tangguhkan Parlimen itu pada satu masa, yang mana KKM dan juga menurut Akta 342 akan memberi makluman nanti dengan melonggarkan perhimpunan itu menerusi SOP yang lebih baik.


“Selama empat hari kita bersidang dari 26 hingga 29 Julai lalu, kita bersidang dengan SOP yang cukup ketat, tetapi ada juga jangkitan berlaku.


“Beri masa untuk Kementerian Kesihatan menilai risiko itu sebelum Parlimen sambung semula,” katanya kepada media selepas penyerahan Kit Makanan Skuad Prihatin kepada 70 keluarga di Dewan Persatuan Penduduk E/F, Wangsa Maju pada Ahad.


Redzuan juga menegur pembangkang yang tidak berpuas hati dengan penangguhan itu telah mempolitikkan isu berkenaan seperti mempergunakan anak muda untuk berhimpun secara haram di ibu kota, semalam.

“Kadang-kadang kita lihat golongan ini seperti tidak faham dengan situasi semasa, yang mana kerajaan bertungkus lumus memerangi COVID-19, tetapi mereka cuba mencetuskan kes baharu.


“Mereka sudah berkumpul, jadi, mereka kena bertanggungjawab jika wujud kluster baharu yang berkaitan dengan perhimpunan haram itu,” katanya.


Jelasnya, pembangkang dan penyokongnya harus sedar kes positif COVID-19 hari ini terlalu sukar untuk dikawal, tambahan dengan adanya varian ganas seperti Delta.


Ujarnya, kerajaan telah buat yang terbaik dalam mengekang penularan wabak itu dengan menasihat dan meminta seluruh rakyat menjaga diri, kita jaga kita, jangan berhimpun dan sebagainya.

“Tetapi, mereka degil dan golongan inilah yang saya bimbang bertanggungjawab mewujudkan kluster yang baharu.


“Kalau tidak puas hati, kita ada saluran tertentu untuk menyuarakannya, tidak perlulah hendak buat demostrasi jalanan.


“Saya nampak perhimpunan semalam sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu, terutama pembangkang kerana beberapa pemimpin yang dilihat hadir dalam perhimpunan itu dari pembangkang,” ujarnya.


Pada Sabtu, seramai 400 orang menyertai himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara yang merancang untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi mendesak agar Perdana Menteri dan barisan kabinetnya meletakkan jawatan.



--PN Online

bottom of page