top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

"Pembelian 500 Ambulans Tekanan Negatif disalah tafsir" - KKM

22 Jun 2021

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulekfli Ahmad mempersoalkan kerajaan membeli 500 unit ambulans tekanan negatif yang menelan belanja RM300 juta ketika pelaksanaan darurat.


Kepentingan pembelian itu turut dipersoal sedangkan semua kakitangan dan petugas kesihatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).


“Memandangkan bilangan kes, termasuk yang dibawa ke hospital setelah mati (brought in dead) masih tinggi, kerajaan sepatutnya fokus terhadap memastikan lebih banyak bilik tekanan negatif atau mempertingkatkan FTTIS serta vaksinasi.


“Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk mengurangkan jumlah kematian. Melihat betapa teruk keadaan sekarang ini, kerajaan mesti diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam perbelanjaannya,” ujar beliau.


FTTIS merujuk kepada Find (Kenal Pasti), Trace (Kesan), Test (Uji), Isolate (Kuarantin) dan Support (Sokong) iaitu sistem yang dibangunkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata apa yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang medianya pada Sabtu lalu tidak menyebut semua 500 ambulans yang dibeli itu adalah bercirikan tekanan negatif.


"Laporan berita itu disalah tafsir. Sebenarnya, Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) menyatakan pada sidang media bahawa KKM akan memulakan tender 500 ambulans ini dan bagi ambulans lain kita akan gunakan sistem 'leasing' (pajakan) mengikut zon supaya isu logistik pesakit COVID-19 di mana-mana jua dapat diatasi.


"Dalam kenyataan berkenaan tidak sebut semua 500 ambulans itu bercirikan 'Negative Pressure Ambulance' sebagaimana yang disalahfahami dan dilaporkan oleh pihak tertentu.


Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, ambulans tekanan negatif itu merupakan keperluan penting terutama di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi.


Ambulans tekanan negatif adalah alat tambahan yang dilengkapi dengan penambahbaikan khas untuk merawat dan mengangkut pesakit dengan penyakit berjangkit dengan selamat.


Unit ambulans berkenaan dilengkapi sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutama jenis penyakit bawaan.



--PN Online

bottom of page