top of page
  • cik skod

Pembentangan bajet sia-sia-Azmin


SHAH ALAM, 11 OKT:Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali hari ini menyifatkan pembentangan bajet minggu lepas sebagai langkah sia-sia berikutan tindakan perdana menteri membubarkan Parlimen semalam, memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara menghadapi musim tengkujuh dan banjir.


Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata perkembangan politik baru-baru ini menunjukkan Umno gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi dan cuaca yang amat mencabar.


“Pembentangan Bajet 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan.


"Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


"PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.” jelas beliau.

bottom of page