top of page
  • zaman

Pembubaran Majlis Pemulihan Negara di bawah Jemaah Menteri - Tengku Zafrul


KUALA LUMPUR,6 OKT: Hanya kerajaan dan Jemaah Menteri sahaja boleh berhak memutuskan samada Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu dibubarkan atau tidak, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini, beliau berkata, MPN hanyalah badan penasihat kepada kerajaan dan bertindak sebagai pelengkap dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan.


Katanya lagi, MPN tidak mempunyai kuasa eksekutif dan hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada Kerajaan semata-mata.

"Ini bermakna, kuasa bagi membubarkan MPN adalah tertakluk kepada Jemaah Menteri dan pihak Kerajaan," kata Tengku Zafrul lagi.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk membubarkan Majlis Pemulihan Negara.


Guan Eng, yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, peranan MPN dilihat tidak membuahkan hasil apabila cadangan pengurusan ekonomi badan tersebut tidak diterima pakai oleh pihak Kerajaan, khususnya langkah mengurangkan inflasi dan inflasi makanan.

Media sebelum ini melaporkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, MPN wajar dibubarkan berikutan fungsinya yang tidak jelas dan tidak perlu.


Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, fungsi MPN dilihat bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi kerajaan lain sebagai penasihat serta pelaksana.


Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, MPN ditubuhkan pada 21 Julai tahun lalu oleh Jemaah Menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri daripada Kementerian Kewangan.


Sepanjang tahun 2022, beliau berkata, MPN telah bermesyuarat sebanyak sembilan kali dan telah mencadangkan pelbagai cadangan dan inisiatif utama, antara lain melibatkan kekurangan pekerja asing, bantuan kepada Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS), dan keciciran pembelajaran akibat penutupan institusi pendidikan semasa tempoh pandemik COVID-19.


Media pada 27 September lalu melaporkan Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata, beliau kecewa apabila hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan.


Kata bekas Perdan Menteri itu, 30 daripada 69 perakuan berkenaan masih dalam pelaksanaan, 14 lagi belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet.

Comments


bottom of page