top of page
  • Farah

Pembubaran Parlimen mesti dibincang semua parti gabungan


SHAH ALAM,15 Sept: Pembubaran Parlimen wajar dibincangkan bersama semua parti politik yang terlibat membentuk gabungan dalam kerajaan sebelum mendapat persetujuan kabinet dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya pertembungan ketika pembahagian kerusi.


Menurutnya, kesilapan dalam isu berkenaan akan memberi kesan kepada penyatuan ummah yang telah dicapai sebelum ini. “Kita perlu sedar bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Parti Sarawak.

“Sesungguhnya, kegagalan penyatuan ummah hanya akan merugikan dan menguntungkan pihak lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka mengadakan pertemuan bersama lima pimpinan tertinggi (Top 5) UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.

Perbincangan itu turut melibatkan rakan komponen UMNO yang lain dalam gabungan Barisan Nasional seperti parti MCA dan MIC.


Pada masa yang sama, Mohd Redzuan turut mengingatkan kerajaan agar menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

bottom of page