top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pembukaan sekolah negeri fasa tiga: pandangan pelbagai pihak dipertimbang

8 September 2021

KUALA LUMPUR: Pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah mengenai sesi persekolahan akan dipertimbang sebelum pelan komprehensif pembukaan sekolah dimuktamadkan bagi negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut catatan melalui Facebook beliau hari ini, Radzi memaklumkan saranan dan cadangan yang diberi akan diteliti dan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dilaksanakan. “Apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara. Insya-Allah. KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Menerusi hantaran tersebut, beliau turut menyertai satu sesi libat urus melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari Negeri Sembilan hari ini berhubung perkara itu.

Ahad lepas, Radzi mengadakan siri pertama perbincangan bersemuka dengan wakil PIBG sekolah menengah dan rendah, guru besar serta pengetua di Labuan mengenai pembukaan sesi persekolahan pada 3 Okt nanti.

Sementara itu, dalam hantaran lain Radzi memaklumkan satu mesyuarat secara maya juga telah diadakan bersama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) Datuk Dr Haili Dolhan. Beliau berkata dalam mesyuarat yang turut disertai pengurusan tertinggi KPM dan SPP antaranya membincangkan usaha mempercepatkan pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara ‘one-off’.

“Saya yakin, SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) sentiasa komited untuk membantu KPM dalam mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan guru.

“Usaha ini akan dapat melancarkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran,” katanya. Pada Jun lepas, Radzi mengumumkan pengambilan tersebut yang bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan guru di seluruh negara.


bottom of page