• Arissa

Pemergian Ahmad Sarji kehilangan besar buat Negara – Muhyiddin

29 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, awal pagi semalam disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.


Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau dan keluarga berkongsi rasa sedih atas pemergian Allahyarham, yang dikenalinya sebagai individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas.


Muhyiddin berkata, ketika menjawat jawatan Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi fokus kepada kepuasan hati pelanggan dan penambahbaikan kualiti secara berterusan, sekali gus menjadikan perkhidmatan awam negara sebagai antara yang terbaik.


“Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.


“Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.


“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Sama-samalah kita berdoa agar Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” kata beliau melalui Facebooknya, semalam.


Ahmad Sarji, 82 meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini jam 1.40 pagi tadi.


Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu akibat komplikasi COVID-19 pada 31 Julai lalu.


Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.



--PN Online