• newsatmy

Pemilihan parti UMNO jalan keluar yang demokratik - Reezal Merican

9 April 2021

BUKIT MERTAJAM: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendesak parti itu supaya mengadakan pemilihan parti secepat mungkin, untuk menyelesaikan isu-isu dalaman parti.


Reezal Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pemilihan parti harus diadakan secepat mungkin kerana tempoh jawatan dalam MT dan bahagian akan berakhir pada bulan Mei tahun ini.


"Kalau parti DAP dan parti lain boleh buat tanpa ada penangguhan, tidak ada sebab kenapa parti UMNO tidak boleh lakukan. Pemilihan parti perlu diadakan secepat mungkin, kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar yang demokratik.


"Dengan mengadakan pemilihan, kita akan memberi isyarat bahawa kita menepati janji dan ikrar kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2021 di sini hari ini.


Mengulas tentang rakaman audio perbualan antara dua individu mirip suara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang tular baru-baru ini, Reezal Merican berkata secara peribadi, rakaman itu sangat menganggu.


"Secara peribadi, rakaman itu sangat menggangu dari pelbagai segi seperti siapa di belakannya, soal kandungan perbualan tersebut dan soal ketulenan. Tapi saya menarik nafas lega kerana presiden telah tampil meluahkan penafian," katanya.


Susulan tularnya rakaman tersebut, terdapat desakan dari pihak tertentu supaya Ahmad Zahid berundur sebagai presiden sehingga masalah itu selesai, namun Reezal Merican berpendapat beliau tidak bersetuju dengan gesaan itu, kerana soal terbabit harus ditentukan oleh MT UMNO sendiri.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.