top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pemilihan PM ke-9: GPS serah kepada kebijaksanaan Agong

18 Ogos 2021

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan pemilihan Perdana Menteri ke-9.


Kata Pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kuasa itu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


"Saya serah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” jawabnya ringkas.


Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat LAKU, Miri pada Rabu.


Sebelum ini, Pemilihan Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan langkah tepat dan sesuai untuk dipertimbangkan dalam pembentukan kerajaan baharu.


Menurut Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, ini kerana jika seseorang calon dinamakan, ia dipilih berdasarkan sokongan dalam sesebuah parti demi mencapai kestabilan.


Terdahulu pada Isnin Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.


Tindakan itu diambil Muhyiddin selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional.


Semalam, Agong menerima menghadap ketua parti politik bagi membincangkan serta menerima sembah maklum calon Perdana Menteri.



--PN Online

bottom of page