top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pemuda UMNO jangan jadi batu api – Armada Johor

30 Julai 2021

JOHOR BAHRU: Armada Johor mengingatkan Pemuda UMNO Johor agar tidak bersikap batu api dengan situasi politik semasa.


Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah juga diminta untuk tidak menangguk di air yang keruh serta membuat kenyataan bertujuan mengejar populis semata-mata.


“Kenyataan beliau bahawa kerajaan mengetuai penipuan satu perkara yang tidak boleh diterima. Beliau harus faham perlembagaan dengan teliti dan tidak bersikap kebudak-budakan apabila mengeluarkan kenyataan.


“Kenyataan itu seolah-olah beliau alpa berkaitan kerajaan kini turut melibatkan komponen parti UMNO juga, desakan yang dilemparkan seperti menuding pada diri beliau sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Semalam, Mohd. Hairi membuat kenyataan mendesak agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Menteri Kabinet meletakkan jawatan ekoran kenyataan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan pembatalan Ordinan Darurat.


Muhammad Shamsuddin turut berkata, selaku rakan sekutu dalam kerajaan, UMNO perlu memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.


“Tidak wajar beliau memainkan isu ini dan menjadi batu api yang boleh merosakkan penyatuan Perikatan Nasional (PN) Johor yang mana UMNO juga merupakan antara rakan sekutu dalam pentadbiran.


“Ini kerana pimpinan UMNO juga telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negara dan fokus terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan dan Pelan Pemulihan Negara,” ujarnya.


Sehubungan itu, beliau berharap sebagai pemimpin muda, setiap pihak bertanggungjawab menggerakkan anak muda untuk menjadi pelapis masa depan dengan menggunakan akal dan budi pekerti serta adab.


“Dan bukan sebaliknya sebagai pemimpin yang tunjuk pandai melalak-lalak, mencari silap orang lain dan mengkritik secara tidak membangun yang hanya merugikan semua pihak,” jelasnya.




--PN Online

bottom of page