Pemuda Umno Lebih Berminat Selamatkan Jawatan Berbanding Nyawa
Hantaran Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi di Facebook yang membandingkan inisiatif pungutan suara rakyat membantah PRU15 semasa banjir yang digerakkan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, sdr Rafizi Ramli dengan pungutan suara di United Kingdom (UK) ternyata dangkal dan mencerminkan sikap sebenar ahli-ahli politik UMNO.
Mungkin Pemuda UMNO sudah terlupa bahawa pada Disember 2021, Semenanjung Malaysia telah dilanda bencana banjir yang buruk di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Pantai Timur, sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.
Kejadian banjir tersebut telah mencetuskan darurat kemanusiaan yang akhirnya terpaksa dipikul bersama oleh pelbagai pihak termasuk orang awam akibat kelemahan kerajaan menangani kejadian banjir tersebut.
Bahkan, fenomena perubahan iklim dijangkakan akan mendatangkan risiko banjir yang lebih buruk jika tiada sebarang perancangan rapi dibuat dengan segera. Tinjauan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan Jangkaan Hujan yang tinggi pada bulan November dan Disember, khususnya di Lembah Klang dan Pantai Timur.
Tatkala UMNO dan BN berterusan mendesak agar PRU disegerakan, kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan sudah mula merangka pelan dan misi bagi menghadapi sebarang risiko banjir di luar jangkaan, agar keselamatan rakyat sentiasa diutamakan.
Sentimen ketidakstabilan yang seringkali dimainkan tidak akan berbangkit jika kesemua parti politik dalam kerajaan benar-benar ikhlas meletakkan soal kebajikan rakyat dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.
Inisiatif pungutan suara rakyat yang digerakkan oleh sdr Rafizi Ramli seharusnya disambut baik sama ada oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang yang seharusnya berganding bahu menghadapi risiko banjir menjelang hujung tahun ini.
UMNO dan BN perlu berhenti daripada menggerakkan kempen songsang yang menggesa kepada pembubaran Parlimen yang jelas menggambarkan betapa terpisahnya realiti pimpinan UMNO dengan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat.
ARSHAD HASSNI Ahli Majlis Pimpinan AMK Malaysia Ketua AMK Segambut
Comments