top of page
  • Farah

Pemukiman Ahli Parlimen PN semak, imbang Belanjawan 2023


KUALA LUMPUR, 27 Feb – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyertai pemukiman bagi membincangkan inti pati Belanjawan 2023 yang selesai dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim Jumaat lalu.


Pemukiman berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort itu bertujuan untuk menyemak dan mengimbangi belanjawan sebelum barisan Ahli parlimen menyertai sesi perbahasan di Dewan Rakyat bermula hari ini.


Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melalui hantaran di Facebook berkata, sesi pertama sidang pemukiman membabitkan kupasan bekas Menteri Kewangan II yang turut pernah memikul tanggungjawab sebagai juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Turut sama membentang kupasan adalah Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Barang diingat dalam kalangan Ahli Parlimen PN ramai bekas menteri dan timbalan menteri yang terlibat dalam membidani dan membikin belanjawan sebelum ini dan Rancangan Malaysia ke-12.

“Tok Pa (Mustapa) adalah ‘key leader’ (pemimpin utama) dalam merangka program pembasmian kemiskinan di EPU (Unit Perancangan Ekonomi) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan banyak sudah beliau siapkan.

“Dan banyak lagi akan kami bahaskan esok (di Dewan Rakyat),” katanya.


Jumaat lalu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang membabitkan peruntukan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.


Belanjawan 2023 menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.


Ia adalah belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah Kerajaan PH-BN pimpinan Anwar

bottom of page