top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pendakwaan gagal dalam rayuan lucutkan hak Umno pada dana RM192j

2 September 2021

Umno akan tetap mendapat kembalikan RM192 juta yang dituntutnya selepas pihak pendakwaan gagal dalam permohonan rayuan mereka melucutkan hak ke atas wang yang ada kaitan dengan dana 1MDB itu.


Pihak pendakwaan juga harus mengembalikan hampir RM2.5 juta yang sebelumnya dilucutkan haknya daripada Umno Pahang dalam saman pelucutan hak berkaitan 1MDB.


Ketetapan itu dibuat sebulan suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar permohonan rayuan berkaitan dengan saman pelucutan hak pendakwaan dengan Umno, Umno Pahang dan beberapa entiti lain.


Keputusan tersebut dibacakan hakim Hadhariah Syed Ismail. Dua hakim lain yang mendengar permohonan berkenaan ialah Abdul Karim Abdul Jalil dan Abu Bakar Jais.


Pada 7 Feb tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak dana bernilai RM192 juta milik Umno yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB.


Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan dana itu ada kaitan dengan cek yang dideposit lebih awal oleh presiden dan mantan perdana menteri Najib Razak ketika itu.


Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini juga berkaitan dengan rayuan Umno Pahang untuk membatalkan keputusan terdahulu mahkamah tinggi yang membenarkan pihak pendakwaan melucutkan hak wang RM2,479,300.18 yang didakwa berkaitan dengan 1MDB.


Panel hakim juga menolak rayuan pihak pendakwaan dalam beberapa kes lain saman melucutkan hak terhadap pelbagai entiti politik dan perniagaan.


Entiti lain ini adalah Wanita MCA (RM300,000); Badan Perhubungan Umno Kedah (RM1.05 juta); penjual tudung Perano (RM337,634.78), pembekal khemah Binsabi Sdn Bhd (RM827,250); Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); dan Hattatex Trading (RM111,590).


Umno dan pelbagai entiti tersebut adalah antara 41 entiti dan individu yang disaman dengan tuntutan saman lucut hak dari SPRM untuk mendapatkan semula sejumlah RM270 juta wang yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB.


Dalam keputusan hari ini, Hadhariah berkata bahawa mahkamah tinggi melakukan khilar kerana membenarkan saman melucut hak hampir RM2.5 juta dari Umno Pahang.


Katanya mahkamah tinggi tidak mengendahkan fakta bahawa wang yang diberikan Najib kepada Umno Pahang itu dibelanjakan sebelum 2018 dan tidak lagi ada, manakala wang yang dirampas kemudian sebaliknya dari sumber lain yang sah.


Hadhariah berkata, Mahkamah Rayuan juga tidak mengganggu keputusan mahkamah tinggi sebelumnya yang menolak beberapa tuntutan pelucutan hak terhadap Umno, Wanita MCA, Umno Kedah, Perano, Binsabi, Habib Jewels, K&Z Enterprise, dan Hattatex Trading.


Dia berkata ia kerana afidavit pendakwaan oleh pegawai penyiasatan gagal membuktikan bahawa dana yang dirampas dari pelbagai entiti pada 2018 adalah hasil aktiviti haram.


Tambahnya, afidavit itu hanya mendedahkan wang yang disimpan dan dipindahkan dari akaun Najib dan entiti lain, dan itu tidak cukup untuk membuktikan wang yang diterima oleh entiti ini berasal dari aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Hadhariah memutuskan, walaupun dana yang diterima daripada Najib berasal dari aktiviti yang menyalahi undang-undang, mahkamah tinggi memutuskan dengan tepat bahawa pendakwaan tidak boleh melucutkan hak daripada entiti-entiti berkenaan kerana wang yang diterima antara 2012 dan 2013 telah dibelanjakan, dan dana yang dirampas pada tahun 2018 adalah dari sumber lain yang sah.


"Tidak mungkin wang dalam akaun responden yang dirampas pada 2018 berasal dari cek dari DSN (Najib).


"Pihak pendakwaan tidak mengenal pasti secara khusus wang yang mana dalam akaun responden dari DSN," katanya.


Pendakwaan diketuai oleh Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi manakala Hariharan Tara Singh, G Nadaraja, Ben Chan masing-masing mewakili Umno, Umno Kedah dan Wanita MCA.


Mohd Shukri Ahmad Mansor pula bertindak sebagai peguam mewakili Umno Pahang dan Hattatex.


K&Z Enterprise dan Perano diwakili Thevini Nayagam dan Mohd Khalil Tajuddin dan Khoo Guan Huat masing-masing mewakili Binsabi dan Habib Jewels.

bottom of page