• newsatmy

Pendedahan Annuar tentang pemimpin Umno jumpa DAP tak dibincang MKT

Updated: Feb 5

2 Februari 2021

PETALING JAYA: Pertemuan pemimpin Umno dengan DAP bertujuan untuk bekerjasama yang “didedah” Annuar Musa tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).


Ahli MKT Umno Mohd Razlan Rafii berkata, keputusan adalah “No DAP, No Anwar”, dan ia kekal sehingga hari ini.


Anwar merujuk kepada Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Tidak pernah dibangkitkan (isu pemimpin Umno jumpa DAP untuk bekerjasama) dalam mesyuarat MKT,” katanya ketika mengulas dakwaan Annuar Musa bahawa wujudnya gerakan daripada pemimpin Umno untuk bekerjasama dengan DAP termasuk untuk membentuk kerajaan baru pada PRU-15.


Razlan berkata, kalau ada pihak dalam Umno cuba mengerakkan kerjasama dengan DAP dan Anwar ia bersifat peribadi bukanlah keputusan rasmi parti itu sendiri.


Mengulas isu jajaran politik yang kononnya parti itu mahu bekerjasama dengan DAP sehingga menjadi polemik dalam Umno, Razlan berkata isu itu perlu dilihat dengan lebih meluas.


“Jajaran politik ini adalah luas dan tidak semestinya kita menyokong DAP dan PKR, jajaran politik ini kita nak tafsirkan seperti mana kita lihat di Melaka ada ADUN DAP, PKR keluar parti sokong tubuh kerajaan negeri sama juga di Perak, jajaran politik ini bukannya kita sokong kerjasama dengan DAP dan PKR,” katanya.


Di Perak, usaha Umno menggulingkan menteri besar daripada PPBM disokong DAP dan usaha itu berjaya. Umno kini memegang jawatan menteri besar di negeri itu.


Sehubungan itu, Razlan menyeru ahli Umno supaya berhenti bergaduh sesama sendiri di media sosial berhubung isu tersebut sebaliknya kembali bersatu menguatkan parti.


“Kita patutnya lebih fokus bantu rakyat untuk kepentingan rakyat bukan kepentingan individu dalam parti,” katanya.


Pada 6 Jan lalu, Annuar yang dipecat sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) mendakwa, beliau menerima laporan wujud gerakan daripada pemimpin Umno untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.


Beliau kemudian mengulangi dakwaan itu pada 12 Jan sambil memaklumkan beberapa pemimpin Umno menemui Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.