top of page
  • zaman

Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir


TANAH MERAH,12 OKT: Lebih 100 keluarga di Kampung Padang Kijang, di sini mula melakukan persediaan seperti menyediakan bot serta menyiapkan rak khas yang tinggi bagi menyimpan barangan mereka apabila berdepan dengan banjir semasa musim tengkujuh nanti.


Penyelia pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Padang Kijang Mazlan Ashaari, 58, berkata kawasan kampung itu antara 'hotspot' banjir justeru penduduk sudah mula mengambil inisiatif membuat persiapan awal.


"Kampung ini antara kawasan banjir apabila musim tengkujuh, malah kami perlu berpindah tiga atau empat kali ke PPS atau rumah saudara-mara dalam tempoh berkenaan.

"Sebagai persediaan, penduduk sudah mula menyediakan bot peribadi, malah ada yang membuat stor khas (rak tinggi) bagi menyimpan barangan penting daripada ditenggelami air banjir nanti," katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.


Mazlan berkata kebiasaannya, paras air sungai di kampung itu boleh mencecah 14 meter seterusnya mengakibatkan banjir yang memaksa penduduk segera berpindah.


"Keadaan kampung akan berubah seperti sebuah pulau apabila banjir kerana jalan perhubungan utama ditenggelami air sepanjang 800 meter dan sedalam dua meter," katanya.


Bagi Lokman Zakaria, 53, mengambil kira pengalaman menghadapi banjir sebelum ini, beliau mengambil inisiatif membina rak khas di dalam rumah untuk menyimpan barangan penting.

"Saya bina rak khas setinggi dua meter bagi menyelamatkan barangan kerana paras banjir di kawasan ini biasanya antara satu hingga dua meter.


"Walaupun sudah terbiasa dengan kejadian banjir, saya tetap membuat persiapan bagi mengelak lebih banyak barangan mengalami kerosakan," katanya.


Mat Suhaimi Abdullah, 50, berkata beliau menyediakan sebuah bot fiber di rumahnya yang terletak hanya 100 meter dari sungai kampung itu.


"Bot ini memudahkan kami sekeluarga berpindah kerana kami akan berpindah sebanyak tiga atau empat kali ke PPS sebelum musim tengkujuh berakhir," katanya.

-- BERNAMA

bottom of page