top of page
  • newsatmy

Penerbit kecewa pelakon liat promosi filem

3 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Pemilik rumah produksi, Zeel Production, Fadzil Teh meluahkan kekecewaan dengan sikap sesetengah pelakon yang berkira melakukan promosi filem di laman sosial.


Biarpun filem sulung, Seandainya Kau Ada yang ditayangkan menerusi platform televisyen berbayar, Astro First sejak penghujung bulan lalu mendapat kutipan dan respon baik, namun sikap sesetengah pelakon yang sukar memberikan kerjasama amat mengecewakannya.


Malah, Fadzil turut memuat naik entri dalam Instagram (IG) menyindir artis berkenaan.


Fadzil yang sudah dua dekad menceburi dunia penerbitan dan pengarahan drama berkata, dia ralat dengan sikap sesetengah pelakon filem Seandainya Kau Ada.


"Boleh dikira berapa kerat pelakon yang bersemangat membantu promosi filem ini dalam media sosial seperti IG. Saya malas nak sebut nama. Biarlah, siapa yang makan cili terasa pedas. Apa yang berkira sangat pun saya tak tahu.


"Ambil contoh bintang Bollywood seperti Salman Khan. Saya lihat setiap hari mempromosikan filem lakonannya. Artis kita nak buat promosi filem sendiri pun malas.


"Kononnya tidak mahu mengotorkan kandungan yang dimuat naik dalam media sosial.


Hakikatnya, ada artis kita ini 'bodoh' tidak bertempat. Meluat jadinya mengenangkan kerenah mereka," katanya yang bakal menerbitkan filem kedua berjudul Kiah Pekasam diterajui Rozita Che Wan.


Fadzil berkata, filem Seandainya Kau Ada arahannya dan Chad Abdul Rahman mendapat kutipan memberangsangkan sejak ditayangkan pada 29 April lalu.


"Saya tidak menyangka Allah mengurniakan nikmat indah apabila drama Seandainya Kau Ada mendapat perhatian, sekali pun tanpa promosi sesetengah pelakon. Kutipan dan jumlah tontonan menunjukkan peningkatan ketara, setiap hari.


"Saya bersyukur filem sulung saya ini mendapat sambutan. Malah, ramai memuji filem yang diadaptasi menerusi novel yang menggunakan judul yang sama, tulisan Kamsiah Abu.


"Tidak kurang juga ada yang memuji sudut sinematografi filem ini. Pujian dan sokongan buat saya tersentuh hati," katanya.


Filem Seandainya Kau Ada dibintangi Fendy Bakry, Ruhainies, Raysha Rizrose, Aidit Noh, Rozita Che Wan, Fauziah Nawi, Shah Iskandar dan Scha Elinnea.


Penggambaran dilakukan selama 40 hari membabitkan Kuala Lumpur, Perlis, Terengganu dan lokasi luar negara iaitu Tashkent di Uzbekistan dan Makkah serta Madinah.


-Astro Awani

bottom of page