top of page
  • cik skod

Penganjur perlumbaan disaran dapat nasihat MAM


KUALA LUMPUR,20 OKT: Penganjur sukan permotoran yang membina dan membangunkan kemudahan sukan itu dinasihatkan berunding dengan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bagi memastikan venue perlumbaan menepati standard keselamatan minimum.

Tujuh kelab sukan permotoran, diiktiraf oleh MAM, dalam satu kenyataan bersama, memaklumkan pematuhan kepada peraturan keselamatan yang digubal oleh MAM boleh mengelakkan insiden kemalangan maut seperti pada Perlumbaan Battle of King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Sabtu lalu.


Dalam perlumbaan tersebut, pelumba drag dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenar, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran trek perlumbaan.

"Pertama sekali kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Jika imbas kembali, insiden itu mungkin kurang membawa bencana sekiranya acara itu dijalankan mengikut peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh MAM," menurut kenyataan itu oada Rabu.


Mereka berkata walaupun tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) rasmi untuk memohon permit daripada MAM, Permit Acara MAM adalah dokumen utama sebelum Pesuruhjaya Sukan mengeluarkan permit kelulusan.

"Hanya dengan dua permit ini, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi kelulusan kepada kelab dan penganjur yang diiktiraf oleh MAM," menurut kenyataan itu.

Kelab berkenaan menyarankan supaya penganjur dan pengendali litar saling bekerjasama bagi memastikan litar selamat untuk perlumbaan selain perancangan teliti dari segi bilangan anggota keselamatan, perubatan, kenderaan kecemasan, peralatan keselamatan pemandu serta saringan keselamatan sebelum perlumbaan.

-- BERNAMA

bottom of page