top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Penganjur protes patut dikenakan tindakan tegas, peserta patut dikompaun

2 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) patut mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam perhimpunan ‘‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka, pada Sabtu.


Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata pihak penganjur perhimpunan itu patut dikenakan hukuman tegas manakala mereka yang menyertainya patut dikenakan kompaun.


Katanya, walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman, ia jelas melanggar peraturan dan seramai 400 peserta telah menyertai perhimpunan itu.


“Bagaimana jika salah seorang daripada mereka positif COVID-19?


“Perhimpunan ini mampu melahirkan kluster baharu dan disamping dengan varian Delta, ianya amat membahayakan nyawa seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada Wacana.my.


Pada Sabtu, seramai 400 orang menyertai himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara yang merancang untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi mendesak agar Perdana Menteri dan barisan kabinetnya meletakkan jawatan.


Menurut Mahathir, kerajaan tidak menghalang untuk membuat sebarang demonstrasi memandangkan negara ini adalah negara demokrasi, namun masanya mestilah bersesuaian.


“Perhimpunan ini tidak wajar dilakukan pada musim pandemik ini. Hospital di seluruh Malaysia kini sedang penuh dan ditambahkan pula isu kekurangan katil, adakah mereka tidak memikirkan hal ini?” katanya.


Selain itu, beliau turut meluahkan rasa kecewanya terhadap anak-anak muda yang menyertai perhimpunan berkenaan.


“Saya berasa kecewa dengan anak-anak muda yang menyertai dan memulakan provokasi di perhimpunan itu.


“Anak-anak muda ini bukan sahaja menggunakan kata-kata kasar, malah bersikap kurang ajar apabila ditegur,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang hadir ke perhimpunan itu telah dipermainkan oleh pihak pembangkang yang menyorok di belakang tabir.


“Tidakkah mereka sedar bahawa mereka telah dipermainkan oleh pihak pembangkang untuk membahayakan kesihatan dan nyawa masing-masing dengan menghadiri perhimpunan itu?” katanya.


Bagaimanapun, Mahathir berkata jika mahu berprotes, tunggulah masa yang bersesuaian apabila perang menentang COVID-19 benar-benar sudah berakhir.



--PN Online

bottom of page