top of page
  • cik skod

“Pengarah dan pelakon ada otak” – Erma

5 OKT

PENERBIT drama Perempuan Itu, Erma Fatima mendakwa dia tidak pernah mengarahkan pelakon utama, Zul Ariffin memuat naik video sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Menurut pengarah itu, seseorang pelakon sepatutnya perlu berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi dan mengaibkan diri sendiri.


“Pengarah dan pelakon ada otak. Takkan nak buat perkara memudaratkan diri walaupun disuruh.


“Maruah kita bukan atas arahan. Maruah kita, kitalah yang kena jaga.

“Saya pernah jadi pelakon. Saya juga berlakon atas arahan dan mengikut apa yang saya percaya.


“Kalau saya buat, sayalah tanggung. Jadi, tak perlu nak menuding jari kepada sesiapa.

“Jadilah seorang pelakon yang bertanggungjawab,” katanya kepada BH Online.

Kenyataan Erma itu sebagai reaksi beliau berhubung kenyataan aktor Zul Ariffin yang mengaku bersalah atas dakwaan memuat naik video sumbang dalam laman Instagram (IG) pada 18 Mac lalu.


Semalam, Zul berkongsi tidak akan mengambil tindakan selanjutnya dan menasihatkan rakan artis lebih berhati-hati apabila diminta memuat naik hantaran bagi tujuan promosi.

Secara sinis, pelakon filem Talbis Iblis itu menyifatkan, semua lain yang terbabit adalah malaikat, dia seorang sahaja tidak.


Disebabkan itu, aktor bertubuh sasa itu mengaku kesalahan memuat naik kandungan kerana enggan memanjangkan kes dan membazir masa orang berkaitan.


Erma menurut laporan itu lagi menyatakan, Zul tidak seharusnya membabitkan orang lain yang tiada kena mengena dengan perbuatannya itu.


“Tiada siapa jadi malaikat atau syaitan di sini. Dia didakwa atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.


“Secara logik, siapa yang nak ke depan dan jadi hero mengaku memuat naik video dalam akaun IG peribadi orang lain,” persoal Erma.


Menyifatkan apa yang berlaku sebagai teguran dari Tuhan, Erma juga akur setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.


“Apa yang berlaku adalah satu pengajaran buat saya. Tidak perlu nak salahkan sesiapa atau tunjuk siapa hero.


“Salah tetap salah, sama ada pengarah, pelakon atau penerbit. Kita kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku,” tegas Erma.


Terdahulu, Zul didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Sepang, semalam, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.


Zul membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.


Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kehadiran Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 itu di Mahkamah Sesyen, Sepang dengan ditemani sahabatnya, Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai.

bottom of page